Sunday, July 17, 2011

Kematian

Bismillahirrahmanirahim...


Pengakhiran hidup di muka bumi Allah S.W.T sering kali menjadi igauan hitam yang meninggalkan resah dalam hati setiap insan apabila mengingatinya, bukan? Kenapa kita jadi seperti itu? Sedangkan kenyataan dan kebenaran setiap hamba-Nya iaitu " Kematian itu merupakan suatu kepastian bagi setiap kehidupan sama ada cepat atau lambat".

Bayangkanlah...

Suatu pagi, insan yang kita sayangi masih lagi lena dibuai wafat sementara. Anda cuba untuk mengejutkannya...namun, setiap cubaan itu tidak mendapat respon positif. Nafas dan degupan jantung anda semakin berdegup pantas. Nadi arteri radialis mula dicari untuk pemeriksaan walaupun tika itu pergelangan tangan insan kesayangan kita mulai sejuk. Respon negatif membuatkan anda beralih pula mencari nadi arteri karotis,sah! Pancaindera yang menukarkan wap oksigen yang bertukar dengan karbon oksigen dan nitrogen tidak lagi memainkan peranan. Pasti saat itu anda akan mengucapkan ucapan " Innanilawainnanilahirojiuun" lalu terduduk seketika disisi insan kesayangan anda....

Situasi ini mungkin akan terjadi, sama ada pada orang kesayangan disekeliling kita dan tak mustahil pada diri kita sendiri. Apa yang mungkin terlintas bagi seorang hamba Allah S.W.T yang bijaksana ialah sentiasa beringat dan bersedia kepada kematian. Berusaha setiap hari untuk menjadi hamba-Nya yang taat dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang hamba seolah-olah esok adalah pengakhiran hidup.

Bekalan perlu disiapkan. Tiga sahaja amalan yang akan dibawa oleh setiap hambanya apabila kematian sudah datang menjemput.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”(Hadith Sahih – Riwayat Imam Ahmad).



Usai sahaja membaca Hadith Sahih itu, anda pasti akan terfikir, bukan? Sebenarnya banyak cara boleh kita lakukan sebagai persediaan bekalan ke perjalanan abadi. Selain perkara wajib kita laksanakan, perkara sunat jangan pula dilupakan.


Al Imam Ibnu Qudamah rahimahullah berkata: “Dalam mengikuti Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam terdapat keberkatan dalam mengikuti syari’at, meraih keredhaan Allah subhanahu wa ta’ala, meninggikan darjat, mententeramkan hati, menenangkan badan, membuat marah syaitan, dan berjalan di atas jalan yang lurus.” (Dharuratul Ihtimam, hal. 43)

Terdapat 7 amalan Rasulullah yang sangat digalakkan iaitu:
Solat Tahajjud
Membaca Al-Quran Sebelum Terbit Matahari
Jangan Tinggalkan Masjid
Solat Dhuha
Sedekah
Menjaga Wudhuk
Istighfar


Sebenarnya, banyak lagi sunah-sunah Rasulullah S.A.W yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan kita. Namun, amalan-amalan ini boleh kita lakukan sebagai persediaan di akhirat kelak bagi menambahkan perkara yang wajib dilakukan sebagai hamba-Nya.


Sahabat, setiap perubahan dalam hidup bukanlah sesuatu yang mudah dan cepat untuk dilakukan dalam diri kita sendiri. Janganlah terburu-buru dalam melaksanakan perubahan. Janganlah malu dan segan kerana setiap daripada kita tidak ada yang tidak pernah melakukan perubahan walaupun sekali dalam hidupnya. Biarlah perubahan yang dilakukan secara perlahan-lahan kerana hati dan akal perlu dididik untuk redha dan yakin dengan perubahan yang ingin dilakukan dalam hidup. (Kata-kata ini untuk khas untuk diri penulis sendiri).

Entri kematian dititipkan di ruangan maya ini sekadar untuk mengingatkan saudara/i seislam. Andai kita menyayangi seorang teman cubalah untuk menegurnya dengan cara yang betul. Setelah beberapa kali mencuba dengan menasihatinya namun anda tidak berjaya, Berdoalah kepada-Nya agar dibukakan hati sahabat kita itu. Janganlah menyesali jika anda tidak berjaya untuk mengubahnya walaupun sahabat anda sudah meninggalkann dunia yang fana ini kerana sehingga detik ini anda masih boleh mengirimkan surah Al-Fatihah khas untuknya disana.


Wassalam.

No comments:

Post a Comment