Bismillahirahmanirrahim
"Seekor kambing yang berada dalam sekumpulan kambing yang besar mampu menakutkan seekor serigala yang buas. Tambahan lagi, seberkas lidi tidak mampu dipatahkan berbanding sebatang lidi yang terasing sendiri."
Kehidupan sebagai hamba-Nya pasti tidak akan pernah berhenti daripada mengenali insan ciptaan-Nya. Jika dihitung orang yang kita kenali sejak lahir pasti susah untuk kita hitung, bukan? Perkenalan dan pertemuan memberikan satu perasaan yang tidak mudah diungkap di hati kita. Sememangnya detik permulaan akan menimbulkan satu perasaan yang kurang selesa namun, detik yang seterusnya akan mula lahir perasaan senang malah selesa. Proses perkenalan ini bergantung kepada sifat individu. Andai seseorang individu itu bersifat ekstrovert, proses perkenalan akan berlaku dengan cepat begitulah sebaliknya, bagi individu bersifat introvert.
Apakah maksud ciri-ciri peribadi ekstrovert dan introvert? Ekstrovert dan introvert digambarkan oleh Eysenck dan Eysenck (1975, dalam Aiken, 1993 : 86) seperti berikut iaitu ciri ekstrovert adalah mudah bergaul, suka acara keramaian, mempunyai banyak kawan, memerlukan kawan untuk bicara dan tidak suka membaca atau belajar sendirian, sangat suka kegembiraan, mengambil tantangan, sering menentang bahaya, berperilaku tanpa berfikir terlebih dahulu dan biasanya suka menurutkan kata hatinya, gemar akan gurau-gurauan, selalu siap menjawab dan biasanya suka akan perubahan, riang, tidak banyak pertimbangan (easy going), optimis, serta suka tertawa dan gembira, lebih suka untuk tetap bergerak dalam melakukan aktiviti, cenderung menjadi agresif dan cepat hilang kemarahannya, semua perasaannya tidak disimpan dibawah kawal dan tidak selalu dapat dipercaya (Aiken, 1993 : 86 – 87).
Manakala ciri introvert adalah pendiam, pemalu, gemar membaca, suka menyendiri dan menjaga jarak kecuali dengan teman yang sudah akrab, cenderung merencanakan lebih dahulu – melihat dahulu – sebelum melangkah dan curiga, tidak suka akan kegembiraan, menjalani kehidupan sehari-hari dengan keseriusan dan menyukai gaya hidup yang teratur dengan baik, menjaga perasaannya secara tertutup, jarang berperilaku agresif, tidak menghilangkan kemarahannya, dapat dipercaya, dalam beberapa hal pesimis dan mempunyai nilai etika yang tinggi (Aiken, 1993 : 87). Anda tergolong dalam kategori ciri sifat yang mana? Pada pendapat saya, kedua-dua sifat ini perlu ada dalam diri kita. Bagi anda?
Entri ukhuwah ini bertujuan untuk mengupas implikasi perkenalan dengan setiap insan. Perkenalan merupakan satu anugerah yang tidak terhingga yang dikurniakan kepada kita. Perkenalan mana yang tidak pernah diuji bukan? Ujian perkenalan ini akan jelas menilai sifat rohaniah diri kita. Ujian perkenalan datang dengan pelbagai bentuk misalnya khabar angin, perselisihan faham dan lain-lain. Secepat mana perilaku dan perlaku akan bertindak dalam proses pemulihan hubungan? Jawapannya, bergantung kepada sifat setiap insan. Seorang sahabat pernah menyampaikan tazkirah ada mengatakan bahawa apabila berlaku perselisihan jadilah orang yang memaafkan kerana lebih baik daripada menjadi orang yang dimaafkan, begitulah sebaliknya. Proses pemulihan akan cepat berlaku jika setiap daripada kita melaksanakannya. Pada pandangan saya, andai kita mahu menjadi orang yang memaafkan atau dimaafkan pastikanlah hati anda sudah bersedia dengan sesuatu yang bernama "keikhlasan". Tiada gunanya huluran kemaafan jika di hati masih bersarang dengan kepura-puraan.
"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat." (Surah Al-Hujurat: 10)
Ukhuwah mengajar kepada setiap hamba-Nya bahawa makhluk ciptaan Illahi ini terdiri daripada pelbagai ragam dan sifat. Kebiasaannya, penilaian akan dilakukan oleh kita apabila melihat seseorang daripada luaran sahaja bak kata pepatah Inggeris " Judge the book because just like the cover". Ironinya, itulah fitrah seorang manusia yang dicipta untuk melihat sesuatu yang indah, cantik dan bersih. Selalunya kita akan memilih yang paling terbaik sedangkan dalam Al-Quran, jelas menyatakan:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)
Surah Al-Baqarah ayat 126 itu sangat mendalam pengertian yang perlu kita sebagai-Nya untuk mencari jawapan. Bagi saya dalam persoalan ukhuwah ini, surah ini membimbing kita agar jangan menilai seseorang hanya kerana hati merasai seseorang itu "indah, cantik dan bersih" sahaja. Walaupun hati kita masih berbekas rasa ragu- ragu, cubalah mendekati sahabat kita tanpa ada sekelumit perasaan curiga kerana percayalah anda akan mempelajari sesuatu daripada seseorang yang akan anda kenali itu. Bersedialah untuk menerima kelemahan dan kelebihan sahabat baru anda itu. Setiap pembinaan rantaian ukhuwah ini akan mematangkan diri anda dalam memahami kehidupan ciptaan-Nya. Bersyukurlah ke hadrat Illahi kerana menganugerahkan sahabat kepada anda (Kata-kata ini juga untuk renungan penulis sendiri).
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Syawal menjelma merupakan hadiah kesyukuran daripada bulan ramadhan yang penuh barakah. Salam aidilfitri 1432H buat semua muslimin dan muslimat:
- Keluarga tercinta dan sanak saudara.
- Teman bermain dan Sahabat baik.
- Sahabat-sahabat Jawatankuasa Mahasiswa Kolej 2010/2011, Kolej Harun Aminurrashid,UPSI.
- Kawan -kawan SKIM dan Staff Pejabat Kolej Harun Aminurrashid, UPSI
- Rakan Seperjuangan AT05 Pendidikan Bahasa Melayu Batch 2009/2010, UPSI
- Ahli-ahli Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan KHAR, UPSI sidang 2009/2010 dan 2010/2011.
- Sekolah & Persatuan (warga/rakan): Tabika Kemas Sungai Suloh, Sekolah Kebangsaan Sungai Suloh, Sekolah Agama Sungai Suloh, Sekolah Menengah Jalan Kolam Air, Sekolah Menengah Kebangsaan Banang Jaya,Sekolah Menengah Tinggi Batu Pahat & Johore Shooting Association.
Pesanan insan kerdil:
Ramadhan 1432H bakal menyingsing manakala syawal akan menjelma. Berdoalah kepada-Nya agar diizinkan untuk dipertemukan dengan Ramadhan 1433H pula. Syawal yang dirai moga akan menjadi titik tolak dalam memperkukuhkan rantaian ukhuwah yang telah lama terbina mahupun bakal dibina. Selamat hari raya adilfitri, maaf silap dan salah andai sepanjang coretan Bicara Kata ini pernah menyinggung perasaan anda kerana apa yang cuba dilakarkan merupakan sesuatu yang terlintas dari mata hati penulis dengan niat sekadar untuk berkongsi ilmu-Nya yang luas. Segala yang baik datang daripada-Nya dan yang buruk itu atas kelemahan penulis sendiri. Wassalam.
Mata Hati yang memandang akan mencoret kata-kata untuk mengerti dan memahami ciptaan-Nya...
Wednesday, August 24, 2011
Tuesday, August 9, 2011
Sirna Suci
Persoalan hati melanda sukma
Gelodak ikutan memaksa rasa
Nafsu merasuk pertualang utama
Akal sengap mempelawa dosa
Alpa membuak disadur nista
Kelam jiwa gersang cahaya
Berkelana merata membuta mata
Terduduk lemah iblis berjaya
Pasungan ampuh bergetar goyah
Badai hasutan acap menerjah
Iman dihimpit bernafas payah
Fitrah menuntut hakikat jelajah
Pohon ihsan membenteng kubu
Helaan syukur hidayah menghujani
Batasan syariat peneraju kalbu
Inayat Illahi penaung insani
Nawaitu diri ikhlas memayungi
Janji disemai menyulam ukhwah
Mehnah iktilad seiring membayangi
Hakikat ikatan bukanlah lewah
Perbatasan waktu menilai harga
Pudarlah mahabbah tanpa agama
Persiapan ilmu membentuk keluarga
Fahami tanggungjawab perkara utama
Tinggi mahar bukan ukuran
Sederhana jalani merai walimah
Rumah rusuk pengemudi pelayaran
Bimbinglah zaujah menjadi muslimah
Tulus doa umpama lantera
Takdir Ar-Rabb redha dimamah
Restu keluarga payungi sejahtera
Lafaz sakinah menuntut warrahmah
Fatin Humairah,
Kolej Harun Aminurrashid, UPSI
9 Ramadhan 1432H
Monday, August 8, 2011
Solat Sunat Terawih (Qiyamu Ramadhan)
Bismillahirrahmanirrahim
Solat terawih merupakan solat yang istimewa. Kerana apa? Solat ini merupakan solat yang hanya ada pada bulan RAMADHAN sahaja. Tambahan lagi, terdapat pelbagai pelbagai fadhilat yang akan dapat diperoleh oleh seseorang yang melaksanakan ibadah ini.
Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali (r.a.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang fadilat (kelebihan) sembahyang sunat terawih pada bulan Ramadan :
Malam 1 – keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia barudilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.
Malam 2 – diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta keduaibubapanya (sekiranya mereka orang beriman)
Malam 3 – berseru Malaikat di bawah ‘Arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.
Malam 4 – memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membacakitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
Malam 5 – Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam 6 – Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf diBaitul Ma’mur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanahmendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih poda malam ini.
Malam 7 – Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi‘Alaihissalam nenentang musuh ketatnya Fir’aun dan Hamman.
Malam 8 – Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihissalam.
Malam 9 – Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti NabiMuhammad S.A.W.
Malam 10 – Allah Subhanahuwata’ala mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan diakhirat.
Malam 11 – Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan.
Malam 12 – Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).
Malam 13 – Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatandan keburukan.
Malam 14 – datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiadamenyesatkannya pada hari Qiamat.
Malam 15 – Semua Malaikat yang menanggung ‘Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
Malam 16 – Allah subhanahuwata’ala tuliskan baginya terlepas daripada neraka dandimasukkan ke dalam Syurga.
Malam 17 – Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyakpahala Nabi-Nabi.
Malam 18 – Seru Malaikat : Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepadaengkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup atau mati)
Malam 19 – Allah Subhanahuwata’ala tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
Malam 20 – Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid danorang-orang solihin.
Malam 21 – Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada nur.
Malam 22 – Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan(tidaklah dalam keadaan huru-hara di Padang Masyar).
Malam 23 – Allah Subhanahuwataala binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurgadaripada nur.
Malam 24 – Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang berterawih malam ini,(elok sekali berdoa ketika dalam sujud)
Malam 25 – Allah Taala angkatkan daripada siksa kubur.
Malam 26 – Allah kurniakan kepada orang berterawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.
Malam 27 – Allah kurniakan orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atastitian Sirotolmustaqim seperti kilat menyambar.
Malam 28 – Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 darjat di akhirat.
Malam 29 – Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yangmabrur.
Malam 30 – Allah Subhanahuwataala beri penghormatan kepada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman:
“Hai hambaKu : makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan didalam syurga, dan mandilah engkau dariapda air syurga yang bernama Salsabila, sertamunumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama Al-Kauthar.
------------------------------------------------------------------------------------------------
Langit malam yang hitam itu berseri indah dengan serakan bintang yang tidak diketahui jaraknya dengan bumi. Angin sepi menyapu lembut tubuh seorang hamba Allah yang leka memerhatikan keindahan alam ciptaan-Nya. Bunyi bising motosikal daripada belakang rumah semakin jelas kedengaran. Bunyi motosikal itu semakin lama semakin dekat sehinggalah sampai ke arahnya.
"Nor, jadi tak nak pergi solat sunat terawih ni?" tanya Encik Jalil kepada anak perempuannya, Nor yang kelihatan masih asyik memandang langit.
" Hmm, jadi. Tapi Nor tak berapa faham lagi nak solat terawih macam manalah ayah. Nanti salah pulak" jawab Nor sebelum memanjat motosikal ayahnya yang banyak berjasa itu.
" Ibu dah ajar Nor kan. Tak apa Allah tak kan marah kalau salah sebab Nor kan baru nak belajar. Jom, kita pergi ya nak dekat azan isya ni" ajak Encik Jalil sambil menghidupkan motosikalnya.
Perjalanan ke Masjid Al-Islah Kampung Sungai Suloh terasa jauh kerana di hati hamba Allah itu masih tertinggal sedikit perasaan ragu-ragu untuk menunaikan solat terawih. Pintu gerbang masjid yang di hias cantik oleh penduduk kampung menambahkan seri rumah Allah. Deretan pelita yang telah dipasang sejak ramadhan pertama itu membuatkan kanak-kanak lelaki tertarik untuk bermain disekitar masjid. Keriuhan memang jelas kedengaran.
Sebaik sahaja sampai dipintu masjid, Encik Jalil memberhentikan motosikalnya lalu meminta anak perempuannya turun.
" Nor, masuk bahagian perempuan ya. Ikut mak cik yang tengah jalan tu masuk. Lepas habis solat ayah tunggu kat sini juga tau" ujar Encik Jalil.
"Ok, Nor cuba solat terawih ya. Ayah jangan tinggalkan Nor tau" jawab Nor sambil mencium tangan ayahnya.
Tirai hijau yang memisahkan bahagian perempuan itu kelihatan nipis dan jarang sehingga dapat melihat bahagian lelaki. Nor lantas memasuki ruang saf yang sudah mulai penuh. Selepas azan isya berkumandang, Nor bersama-sama menunaikan solat jemaah isya. Sebelum menunaikan solat sunat terawih, Nor baru perasaan ada seorang wanita berumur yang kelihatan sungguh uzur turut bangun untuk melaksanakan ibadah sunat itu. Rakaat demi rakaat dilaksanakan dengan penuh tertib sehinggalah 23 rakaat termasuklah solat sunat witir. Usai menunaikan solat, Nor menyalami jemaah perempuan sebelum keluar untuk pulang bersama ayahnya.
"Macam mana Nor solat sunat terawih tadi?" tanya Puan Noraini, ibu Nor sebaik sahaja Nor menyimpan telekungnya di dalam bilik solat.
"Alhamdulilah, Nor dah faham cara solat sunat terawih. Ibu, Nor nak tanya boleh?jawab Nor lalu duduk di sebelah ibunya.
"Boleh, tanyalah. Ibu cuba jawab soalan Nor" ujar Puan Noraini.
"Ibu, tak apa ke kalau orang sihat dan muda tak solat sampai selesai?" tanya Nor
"Kalau solat fardhu hukumnya berdosa tetapi kalau solat sunat tak apa. Ibadah sunat itu kalau dibuat dapat pahala kalau tak buat tak dapat apa-apa" jawab Puan Noraini mengusap-gusap rambut anak perempuannya itu.
"Nor hairan tengok abang-abang kat masjid tu ibu, solat terawih pun solat 8 rakaat sahaja. Ada yang belum habis doa dah bangun. Macam manalah nak dapat 'Kaf ba ra kaf alif ta nun' kan ibu. Nor rasa kagum kat seorang nenek ni ibu. Nenek ni dah tua, kurus, kecil dan dah bongkok dah. Bila nak bangun daripada sujud, terhuyung-hayang dia bangun. Dia solat sehinggalah 23 rakaat, hebat kan dia ibu!" ujar Nor tersenyum-senyum.
"Alhamdulilah, sihat lagi Nek Eton tu. Ibu pun dah lama tak jumpa dia, umurnya dah masuk 80 tahun. Nor, tak baik bersangka buruk kat abang-abang tu. Mungkin mereka ada kerja yang nak dilakukan atau mereka solat witir sendirian kat rumah, kita mana tahu kan" balas Puan Noraini.
"Hmm, betul juga kata ibu tu. Jahatnya hati Nor ni! Austagfiruallahalazim. Ibu, Nor masuk tidur dulu ya. Asslamualaikum" ujar Nor.
Malam itu menjadi titik utama dalam sejarah Nor kerana pertama kali solat sunat terawih berjemaah di masjid. Ramadhan kali ini sungguh istimewa kerana ibadahnya dilengkapi dengan solat sunat terawih pula.
------------------------------------------------------------------------------------------------
Soalan tentang Solat Terawih (Dipetik daripada sebuah laman web)
Assalamualaikum wrm wrbt.
Disini saya ada satu kemusykilan mengenai solat sunat tarawih. Seperti yang kita tahu solat sunat tarawih dijalankan sebanyak 8 rakaat ataupun 20 rakaat.Disini saya solat sunat tarawih lebih afdal dilakukan seanyak 8 rakkat ataupun 20 rakaat.saya ada terbaca dari buku-buku agama mengenai hadis-hadis yang menyentuh mengenai jumlah bilangan rakaat solat sunat yang dilakukan oleh rasullulllah s.a.w.antara hadis tersebut:
1) Dari JABAR BIN ABDULLAHBeliau bersolat bersama-sama rasullullah s.a.w sebanyak 8 rakaat.
2) Dari ABU SAMAH BIN RAHMANBertanya kepada Aisyah r.a .Aisyah berkata kepada abu samah yang rasulullah s.a.w bersolat sebanyak 8 rakaat di rumah
3) Dari IBNU HIBBANBeliau berkata sesungguhnya rasulullah bersolat dengannya sebanyak 8 rakaat. Oleh itu, saya ingin mengetahui yang mana lebih afdal sama ada mengikut sunnah Rasulullah ataupun mengikut para sahabat Rasulullah seperti yang banyak dilakukan di masjid-masjid di Malaysia yang banyak menjalankan solat sunat terawih sebanyak 20 rakaat dan tidak 8 rakaat.?
Jawapan
Solat sunat tarawih ini hukumnya sunat sahaja..
Bergantung kepada seseorang itu yang berkemampuan untuk melaksanakannya samada 8,10,12 sehinggalah 20 dicampurkan dgn witir berjumlah 23 rakaat.
Ada terdapat masjid atau surau bersembahyang 8 dan ada juga 20 rakaat..
8 rakaat pula bacaan surahnya panjang seperti menghabiskan surah Al-Baqarah pada satu malam..
Ada juga 20 rakaat tetapi surahnya pendek.
Yang lebih afdal ialah sembahyang yang lebih banyak iaitu 20 rakaat kerana lebih banyak ibadat kita buat dalam bulan puasa lebih banyaklah ganjaran pahala yang kita perolehi.
wallahua'lam.
------------------------------------------------------------------------------------------------
Pesanan insan kerdil
-Kelalaian yang sering dikesali orang iaitu ketika anda tidak memyempurnakan atau menghargai sesuatu ketika ada kesempatan-P/s: Kutip seberapa banyak kesempatan (pahala) di bulan penuh berkat ini. (^ - ^).
Wassalam.
Subscribe to:
Posts (Atom)













