Thursday, May 31, 2012

Ketika Kaki dan Tangan Berbicara


Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Alhamdulilah, atas limpahan rahmat-Nya dapatlah saya menulis entri diruang maya ini. Entri kali ini berkisar mengenai hari perhitungan. Bagaimanakah nasib kita di sana nanti? Baik atau tidak? Jawapannya di tangan kita sendiri berdasarkan amalan di atas dunia. Tepuk dada tanya iman.
Sekadar perkongsian usrah bersama sahabat-sahabat usrah sebulan yang lalu inilah yang telah mencetuskan idea menulis entri ini. Apakah kaitan insan-insan yang istimewa dengan  “ketika kaki dan tangan berbicara”?

Cuba anda renungkan dalam ayat di bawah ini:
Pada waktu itu Kami kuncikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. 
  (Yaa Siin 36:65)

Teringat juga kepada sebuah lagu nyanyian Chrisye iaitu ketika tangan dan kaki bicara. Lagu yang mengingatkan kita lagi bahawa waktu pertimbangan itu mulut anda akan diam seribu bahasa tetapi anggota lain yang akan melaporkan segala perbuatan kita.

akan datang hari
mulut dikunci
kata tak ada lagi

akan tiba masa
tak ada suara
dari mulut kita

berkata tangan kita
tentang apa yang dilakukannya

berkata kaki kita
kemana saja dia melangkahnya

 tidak tahu kita
bila harinya tanggung jawab tiba

Robbana,
tangan kami
kaki kami
mulut kami
mata hati kami
luruskanlah
kukuhkanlah
dijalan cahaya sempurna

mohon karunia
kepada kami
hambaMu yang hina..

Sahabat usrah juga ada mengatakan bahawa semasa  dirinya menghadiri seminar orang kurang upaya yang bertempat di sebuah masjid Kuala Lumpur telah jelas membuktikan bahawa Allah S.W.T telah menunjukkan insan-insan orang kurang upaya itu telah pun dikunci mulut tetapi tangan dan anggota bertutur. Hanya anggota yang menutur kata-kata. Memang jika difikirkan mungkin di akhirat nanti tidak seperti pelakuan di dunia. Di akhirat nanti cara tangan dan kaki ataupun anggota yang lain bertutur tetapi kita tidak mampu untuk membayangkan kerana kita hanyalah hamba-Nya yang kerdil.

Sahabat saya ada menceritakan bahawa ustaz dalam seminar itu suka bertanya kepada insan-insan istimewa mengenai perkara asas dan wajib sebagai seorang muslim. Pertanyaan demi pertanyaan diajukan antara dua pihak iaitu ustaz dan insan-insan istimewa dengan menggunakan bahasa isyarat sehinggalah satu soalan ini diajukan:
Insan istimewa wanita lewat 40-an: Ustaz, betul kan mandi wajib hanya selepas hubungan suami isteri sahaja kan? Saya mahukan kepastian sebab sudah lama nak bertanya mengenai soalan ini tetapi disebabkan ketidakupayaan saya ini, hasrat saya terpendam sehinggalah ke hari ini. Mohon penjelasan ustaz.

Ustaz: Allah! Dengan wajah yang terkejut lantas memberikan penjelasan.

Cuba anda bayangkan apakah perasaan anda apabila berada di tempat ustaz tersebut? Pasti hati anda merasakan sangat kasihan kepada insan-insan istimewa itu bukan?

Bukan mereka tidak mahu mencari ilmu dan pengetahuan terhadap agama Islam tetapi mereka tidak berjumpa insan-insan yang dapat memahami “pertuturan” mereka. Mengikut kajian  di Malaysia hanya kira-kira 6% sahaja ustaz mahupun ustazah yang boleh menggunakan bahasa isyarat untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. 

Hanya 6% sahaja!


Sahabat usrah saya termenung. Sehinggalah seorang wanita disebelahnya menegurnya. Wanita itu menceritakan kisah hidupnya.
Wanita istimewa: Mak cik mempunyai dua orang anak istimewa. Kedua-dua anak mak cik kurang mendapat pengetahuan mengenai agama Islam. Mereka cuba untuk mempelajari tetapi tidak menjumpainya. Hendak mengharapkan makcik tidak boleh juga kerana mak cik juga cetek ilmu agama.

Sahabat usrah: Jadi, mereka kemana mak cik?

Wanita istimewa: Suatu hari mereka telah berjumpa dengan seorang Sister yang kebetulan menegur mereka. Anak-anak mak cik tertarik dengan pendekatan  yang mampu mengajar agama Kristian dalam bahasa isyarat. Akhirnya mereka terpengaruh dengan agama Kristian.

Sahabat usrah: Allah. Sekarang di manakah mereka?

Wanita istimewa: Mereka mengajak mak cik berada di jalan yang mereka pilih. Mak cik marah dan kecewa. Mak cik cuba menerangkan dan mengajak mereka kepada agama Islam. Tetapi, mereka menolak. Hati mereka sudah keras. Mak cik tidak dapat menghalang mereka. Mereka telah meninggalkan mak cik seorang diri.

Sahabat usrah saya hanya mampu memeluk dan mengusap air mata kesedihan wanita istimewa itu.

Apakah perasaan anda? Sedih dan kecewa bukan?

Sahabat usrah saya dan teman-temannya menangis. Menangis kerana rasa kasihan, bersalah dan terpukul apabila teringat akan tanggungjawab hal ini kerana sahabat usrah saya bakal menjadi pendidik yang akan mengajarkan mata pelajaran pendidikan Islam.  Hakikatnya, menyampaikan dakwah bukan terletak dibahu seorang yang belajar dan mendapat pengiktirafan ilmu agama sahaja. Tanggungjawab menyampaikan dakwah  terletak di bahu semua insan yang bergelar umat Islam.

Hari pembalasan merupakan sesuatu yang pasti berlaku. Fikirkan dan renunglah sejauh manakah diri anda bersedia. Mari  mulakan dengan mengingati mati kerana mengingati mati merupakan orang yang bijaksana. Bijaksana dalam bersedia bahawa amal kebajikan perlu dilakukan sehabis baik pada setiap hari seolah-olah esok tiada untuk diri anda.


Pesanan insan kerdil:
Susah untuk kita menjawab persoalan jika insan yang ingin kita bimbing ke jalan kebenaran itu merupakan insan-insan istimewa. Jawapannya terletak ditangan kita sendiri iaitu mempelajari ilmu bahasa isyarat untuk menyampaikan dakwah atau memikirkan jalan lain. Allahuakbar! Tegakkan hati dan kuncilah hati-hati insan yang mahu dan meneruskan perjuangan menyebarkan cinta kepada agama-Mu. Amin ya rabalamin.


Thursday, May 3, 2012

Bingkisan Teristimewa


Assalamualaikum dan salam sejahtera…
Alhamdulilah, tinta bicara alam maya masih lancar di ruangan bahagia…

Bingkisan teristimewa
Tangan kasar itu pernah membelai, mendukung dan menggeletek
Tangan  kasar itu bahagia menyentuh  dan menarik rambut puteri kecil
Tubuh tegap itu mencari nafkah untuk isteri, puteri dan puteranya
Tubuh tegap itu alah bisa tegal biasa dengan ranjau berduri hidup

Mata yang bergaris hitam itu matang memahami tanggungjawab
Mata yang bergaris kedut itu sekilas mengerti tingkah laku
Bibir merah itu acap kali memarahi putera puteri tika kecil
Bibir merah itu umpama sahabat baik putera puteri tika remaja

Hati itu menyedari tubuhnya semakin dimamah usia dan tidak berdaya
Hati itu sering mengimbau kembali detik bahagia suatu ketika dahulu
Hati itu berharap kepada IIlahi agar melindungi  putera puteri
Hati itu berdoa kepada Illahi agar memberkati putera puteri
Hati itu kini sedih kerana puteri dan putera akan meninggalkannya
Hati itu terubat menjadikan rumah Allah peneman selain si isteri setia

Namun, ketahuilah wahai hati itu…
Putera puteri yang diasuh oleh mu 
kini sedar perlu membayar  kembali tanggungjawabmu dan ibu
Putera puteri yang dijaga oleh mu
kini sedar perlu melunaskan kembali perlindunganmu dan ibu
Putera puteri yang dididik olehmu
 kini sedar perlu mendoakan kembali keberkatanmu dan ibu
Hal ini kerana tangan, tubuh, mata, bibir dan hati itu
Adalah insan teristimewa yang bernama ayah.
Sanah helwah Ayah.
Encik Jalil bin Yusoh (3 Mei 1954)

Daripada: Putera puteri (Khairuddin, Diyana, Norfatin, Siti A'fiat, Al Omar Dinie dan Umi Alwanie) dan isteri (Noraini) yang menyayangimu dunia dan akhirat atas Cinta Kasih-Nya.