Wednesday, January 11, 2012

Kifarah Dosa dan Adab Melawat Orang Sakit

Assalamualaikumwarahmatuallahiwabarakatu dan salam sejahtera...

Hari-hari yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T begitu indah jika terisi dengan amal sebagai hamba-Nya. Namun, di sebalik hari-hari itu insan yang sihat sering kali lupa insan yang sakit. Pelbagai persoalan membelenggu jiwa apabila diajak untuk melawat orang sakit. Sifat insan memang alpa dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, semoga kita dapat memberikan kesempatan untuk melawat insan yang sakit.

Kenapa Allah S.W.T memberikan kita sakit?Anda pernah mendengar apa itu kifarah dosa?
'Kifarah adalah balasan Allah di dunia akibat dosa yang dilakukan oleh seorang hambanya, juga ujian-ujian Allah itu boleh berlaku, yang mungkin melibatkan kematian orang yang dikasihi, kehilangan harta benda ataupun penyakit, tidak kira sama ada penyakit tersebut berlaku dalam tempoh masa yang lama ataupun sekejap bergantung kepada ketentuan (qada’) Ilahi atau buat selama-lamanya sehingga mati. Selagi ketentuan (qada’) bagi sakit itu belum menepati qada’ Allah, maka sakit (kifarah) tadi tidak akan sembuh biarpun pelbagai usaha dilakukan oleh manusia. Jelas disini membuktikan bahawa ada di antara penyakit itu akan sembuh dengan sendiri biarpun tanpa usaha manusia untuk mendapatkan kesembuhan ataupun tidak akan sembuh biarpun banyak usaha untuk menyembuhkannya telah dilakukan.'

Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa. (Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud:Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya,daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah s.w.t. dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat.
(sumber : http://muhdhazrie.wordpress.com/2009/07/13/apa-itu-kifarah/)

“Sesungguhnya Allah benar-benar akan menguji hamba-Nya dengan penyakit, sehingga ia menghapuskan setiap dosa darinya”. (HR. Al-Hakim I/348, dishohihkan Syeikh Albani dalam kitab Shohih Jami’is Shoghir no.1870).

“Sakit demam itu menjauhkan setiap orang mukmin dari api neraka”.(HR. Al-Bazzar, dishohihkan Syeikh Albani dalam kitab Silsilah al Hadiits ash Shohihahno. 1821).

“Janganlah kamu mencaci-maki penyakit demam, karena sesungguhnya (dengan penyakit itu) Allah akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran-kotoran besi”. (HR. Muslim no. 2575).

Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda : “Sesungguhnya besarnya pahala itu tergantung besarnya ujian. Dan sesungguhnya jika Allah menyukai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barangsiapa yang redha maka baginya keredhaan, dan barangsiapa yang murka maka baginya kemurkaan”. (HR. Tirmidzi no. 2396, Ibnu Majah no. 4031, dihasankan Syeikh Albani dalam Shohih Sunan Tirmidzi II/286).
(sumber: http://ceritaku.hadithuna.com/2009/06/19/sakit-itu-nikmat/ )
Anda sudah mengetahui apakah kifarah dosa. Apakah adab-adab melawat orang sakit pula?
ADAB MELAWAT PESAKIT


Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
Mafhumnya: Rasulullah SAW mengarahkan kami untuk menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, menjawab orang bersin, memenuhi janji, menolong orang yang dizalimi, memenuhi jemputan dan menyebarkan salam." (Al-Bukhari dan Muslim)

Menziarahi orang yang sedang sakit adalah termasuk di dalam sunnah Nabi sallallah ‘alaih wa sallam, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Memilih pandangan yang mengatakan hukum menziarahi orang yang sedang sakit adalah Fardhu Kifayah. Inilah juga pandangan al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin rahimahullah. Pandangan ini berdasarkan hadith Nabi sallallah ‘alaih wa sallam:
خمس تجب للمسلم على أخيه : رد السلام ، وتشميت العاطس ، وإجابة الدعوة ، وعيادة المريض ، واتباع الجنائز
Maksudnya: “Lima perkara yang merupakan kewajipan seorang muslim terhadap saudara (semuslimnya): menjawab salam, mengucapkan يَرْحَمُكَ الله kepada saudaranya yang bersin, memenuhi jemputan, menziarahi saudaranya yang sakit dan mengiringi janazah.”

Dalam hadith yang lain diriwayatkan Nabi Muhammad S.A.W menyebut menziarahi saudara seislam yang sakit ini termasuk di dalam hak seorang muslim terhadap muslim yang lain. Ini membawa al-Imam al-Bukhari meletakkan tajuk di dalam kitab sahih beliau sebagai “Bab Kewajipan Menziarahi Orang Yang Sakit” lalu beliau meriwayatkan hadith Nabi sallallah ‘alaih wa sallam:

أطْعِمُوْا الْجَائِع، وَعُوْدُوا الْمَرِيْض، وَفَكُّوا العَانِي
Maksudnya: “Berilah makan kepada orang yang lapar, ziarahilah orang yang sakit dan bebaskanlah tawanan.”

Oleh itu jika tidak ada sesiapa yang menunaikan tanggungjawab persaudaraan ini, semua umat di kira berdosa, dan wajib ke atas orang yang mengetahuinya menunaikan tanggungjawab ini. amat tidak wajar seorang muslim yang mengetahui saudara semuslimnya sakit, sebaliknya dia hanya mendiamkan diri dan tidak menghiraukannya langsung. Tindakan ini mengundang kepada terputusnya hubungan Silah al-Rahimsedangkan Nabi sallallah ‘alai wa sallam bersabda:

مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرَ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ الْعُقُوبَةَ لِصَاحِبِهِ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ
Mafhumnya: “Tidak ada satu dosa yang lebih berhak disegerakan hukumannya oleh Allah (subhanahu wa taala) kepada pelakunya di dunia, bersama hukuman lain yang di tangguhkan hingga ke hari kiamat berbanding orang yang melampaui batas dan memutuskan Silah al-Rahim.” (al-Bukhari di dalam al-Abad al-Mufrad. Dinilai Sahiholeh al-Albani)

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata: “Menziarahi pesakit adalah Fardhu Kifayah, kebiasaannya orang sakit akan diziarahi oleh ahli keluarga dan sahabat-handainya, ia memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah. Akan tetapi sekiranya kita ketahui ada seorang asing di tempat kita, dan ia ditimpa sakit, dia pula tidak dikenali oleh sesiapa, kita juga tahu bahawa tidak ada sesiapapun yang menziarahinya, maka menjadi kewajipan kepada anda untuk menziarahinya, kerana ia termasuk di dalam hak-hak persaudaraan Islam sesama mereka.”(Syarh Riyadh al-Solihin)
Kelebihan Menziarahi Orang Sakit
Terdapat banyak kelebihan menziarahi orang yang sedang sakit sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith-hadith Nabi sallallah ‘alaih wa sallam antaranya:

1. Sesiapa yang menziarahi orang yang sedang sakit dia memperolehi kelebihan seperti mengutip buahan yang berada di dalam syurga. Ini berdasarkan hadith Nabi sallallah ‘alaih wa sallam:
إِنَّ الْمُسْلِمَ إِذَا عَادَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ لَمْ يَزَلْ فِي خُرْفَةِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَرْجِعَ
Maksudnya: “Sesungguhnya seorang muslim apabila dia menziarahi saudara muslimnya (yang sakit), sentiasalah dia berada dalam keadaan sedang mengutip buahan di dalam kebun syurga sehinggalah dia pulang.”

2. Malaikat berselawat ke atas orang yang menziarahi saudara semuslimnya yang sedang sakit. Perkara ini berdasarkan hadith Nabi sallallah ‘alaih wa sallam yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada ‘Ali radhiyallah ‘anhu:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَعُودُ مُسْلِمًا غُدْوَةً إلا صَلَّى عَلَيْهِ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ حَتَّى يُمْسِيَ، وَإِنْ عَادَهُ عَشِيَّةً إلا صَلَّى عَلَيْهِ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ حَتَّى يُصْبِحَ، وَكَانَ لَهُ خَرِيفٌ فِي الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Tiada seorang muslim yang menziarahi seorang muslim lain (yang sedang sakit) pada waktu pagi, melainkan 70 ribu malaikat berselawat ke atasnya sehingga ke petang, jika dia menziarahi saudaranya itu pada waktu petang, 70 ribu malaikat akan berselawat ke atasnya sehingga ke subuh, dan untuk dia sebuah kebun di dalam syurga.”

3. Memperolehi rahmat daripada Allah S.W.T. berdasarkan hadith:

مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ يَخُوضُ فِي الرَّحْمَةِ حَتَّى يَجْلِسَ , فَإِذَا جَلَسَ اغْتَمَسَ فِيهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi saudaranya yang sedang sakit, dia sentiasa sedang menuju ke dalam rahmat (Allah) sehinggalah dia duduk, apabila dia duduk, dia berada di dalam rahmat tersebut.”

4. Malaikat mendoakan kebaikan untuknya berdasarkan hadith:
مَنْ عَادَ مَرِيضًا أَوْ زَارَ أَخًا لَهُ فِي اللَّهِ نَادَاهُ مُنَادٍ : أَنْ طِبْتَ وَطَابَ مَمْشَاكَ وَتَبَوَّأْتَ مِنْ الْجَنَّةِ مَنْزِلاً
Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi orang yang sedang sakit atau saudara semuslimnya kerana mengharapkan balasan daripada Allah, ada malaikat yang akan menyeru: “semoga kamu memperoleh dan berada dalam kebaikan di dunia dan akhirat, dan kamu telah menempah satu tempat di dalam syurga.”

Ini semua berupa sebahagian galakan daripada Nabi sallallah ‘alaih wa sallam kepada umat baginda agar kita teruja untuk menghidupkan sunnah menziarahi saudara semuslim kita yang sedang sakit. Sunnah ini bukanlah terhad dalam menziarahi orang sakit yang kita kenali sahaja, bahkan yang disyariatkan juga ialah kita menziarahi orang yang kita kenal mahupun tidak.Sebahagian ulama mengatakan orang sakit yang wajib diziarahi itu ialah orang yang sakitnya itu menyebabkan dia tidak dapat berjumpa dengan orang lain. Adapun orang sakit yang masih boleh keluar dari rumahnya dan boleh berjumpa dengan orang lain, maka hukum menziarahinya bukanlah suatu kewajipan. Ini menunjukkan samaada orang sakit itu kita kenali ataupun tidak, kita disyariatkan untuk menziarahinya.

Sama halnya jika pesakit itu tidak ada hubungan mahram (ajnabi atau yang boleh berkahwin) dengan kita. Kita tetap dibenarkan untuk menziarahinya dengan kita menjaga tiga syarat di bawah ini:
i. Menutup aurat
ii. Tidak mungkin menimbulkan fitnah
iii. Tidak berduaan dengan pesakit

Al-Imam al-Bukhari meletakkan satu bab di dalam sahihnya iaitulah “Bab orang perempuan menziarahi orang lelaki, dan Ummu Darda’ pernah menziarahi seorang lelaki ahli masjid dari golongan Ansar”.Di bawah bab ini al-Imam al-Bukhari meletakkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Urwah, dimana ‘Aisyah R.A. berkata:

لَمَّا قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وُعِكَ أَبُو بَكْرٍ وَبِلَالٌ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَتْ فَدَخَلْتُ عَلَيْهِمَا قُلْتُ يَا أَبَتِ كَيْفَ تَجِدُكَ وَيَا بِلَالُ كَيْفَ تَجِدُكَ
Maksudnya: “Ketika Rasulullah S.A.W. baru sampai di Madinah (dalam peristiwa hijrah), Abu Bakr dan Bilal R.A. ditimpa sakit. Lalu ‘Aisyah berkata: Aku menziarahi mereka berdua, lalu aku berkata, wahai bapa (Abu Bakr) bagaimana keadaanmu, dan wahai Bilal bagaimana keadaanmu…?”

Hadith ini menunjukkan ‘Aisyah R.A. menziarahi bapanya dan Bilal yang sedang sakit, sedangkan Bilal bukan mahram kepada ‘Aisyah R.A., Namun pada ketika itu Abu Bakar (Bapa ‘Aisyah) ada bersama Bilal.

Imam Muslim pula di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A. yang menceritakan:
أَنَّ أَبَا بَكْرٍ قَالَ لِعُمَرَ رضي الله عنهم بَعْدَ وَفَاةِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم: انْطَلِقْ بِنَا إلَى أُمِّ أَيْمَنَ نَزُورُهَا، كَمَا كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَزُورُهَا، وَذَهَبَا إلَيْهَا
Maksudnya: “Abu Bakr pernah berkata kepada ‘Umar R.A. setelah kewafatan Nabi S.A.W.: Mari kita pergi menziarahi Ummu Aiman, sebagaimana baginda dahulunya menziarahi beliau, lalu mereka berdua pergi menziarahi Ummu Aiman.”

Hadith ini juga menunjukkan Abu Bakr tidak bersendirian pergi menziarahi Ummu Aiman sebaliknya beliau ditemani oleh Umar R.A.
Ibn al-Jauzi berkata:
وَالأَوْلَى حَمْلُ ذَلِكَ عَلَى مَنْ لا يُخَافُ مِنْهَا فِتْنَةٌ كَالْعَجُوزِ
Maksudnya: “Dan yang utama adalah memahami perkara ini (lelaki menziarahi perempuan ajnabi) bagi sesiapa yang tidak memungkinkan berlakunya fitnah, seperti menziarahi orang yang sudah tua.”

Di dalam Sunan Ibn Majah, Anas menyambung ceritanya dengan berkata:
‏فَلَمَّا انْتَهَيْنَا إِلَيْهَا بَكَتْ فَقَالَا لَهَا مَا يُبْكِيكِ فَمَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ لِرَسُولِهِ قَالَتْ ‏ ‏إِنِّي لَأَعْلَمُ أَنَّ مَا عِنْدَ اللَّهِخَيْرٌ لِرَسُولِهِ وَلَكِنْ أَبْكِي أَنَّ الْوَحْيَ قَدْ انْقَطَعَ مِنْ السَّمَاءِ قَالَ فَهَيَّجَتْهُمَا عَلَى الْبُكَاءِ فَجَعَلَا يَبْكِيَانِ مَعَهَا
Maksudnya: “Apabila kami sampai kepada Ummu Aiman, tiba-tiba beliau menangis, lalu Abu Bakr dan Umar bertanya kepadanya: Apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai Ummu Aiman?, sesunggnya apa yang ada di sisi Allah itu adalah kebaikan untuk RasulNya. Lalu Ummu Aiman menjawab: Sesungguhnya aku benar-benar mengetahui apa yang ada di sisi Allah itu adalah kebaikan untuk RasulNya, akan tetapi aku menangis kerana wahyu telah berhenti dari diturunkan. Anas berkata: Perkara itu menyebabkan Abu Bakr dan Umar juga mengangis bersamanya.”

“Ya Allah jadikan kami mencintai KalamMu (Al-Quran) sama sepertimana cintanya Abu Bakr, Umar dan Ummu Aiman kepada KalamMu.”
Hukum Menziarahi Orang Kafir
Tidak ada halangan untuk menziarahi seorang kafir atau musyrik jika ada maslahah. Ini kerana Nabi S.A.W. pernah menziarahi seorang budak Yahudi yang sedang menderita sakit yang membawa kepada kematiannya. Baginda S.A.W. menyeru budak tersebut kepada Islam, lalu dia menerima dakwah Nabi S.A.W.: al-Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam sahihnya daripada Anas bin Malik R.A.:
كَانَ غُلَامٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏فَمَرِضَ فَأَتَاهُ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَعُودُهُ فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ فَقَالَ لَهُ أَسْلِمْ فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ أَطِعْ ‏ ‏ أَبَا الْقَاسِمِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏فَأَسْلَمَ فَخَرَجَ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏وَهُوَ يَقُولُ ‏ ‏الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنْالنَّارِ
Maksudnya: “Dahulunya ada seorang budak Yahudi yang pernah berkhidmat kepada Nabi S.A.W., suatu hari dia ditimpa sakit, lalu Nabi S.A.W. pergi menziarahinya, dan baginda duduk berhampiran dengan kepala budak tersebut sambil berkata: “Peluklah Islam.” Lalu budak itu melihat bapanya yang berhampiran di situ. Bapanya berkata: “Turutilah Abu al-Qasim (S.A.W).” Budak itupun memeluk Islam, apabila Nabi S.A.W. keluar dari rumah budak itu baginda bersabda: “Segala pujian kepada Allah yang telah menyelamatkannya daripada neraka.”

Demikian juga seperti kisah yang masyhur, menceritakan Nabi S.A.W. juga menziarahi bapa saudara baginda Abu Talib yang kafir sebelum kematiannya dan baginda menyerunya kepada Islam, namun Abu Talib enggan.

Termasuk dalam maslahah menziarahi orang bukan Islam yang sedang sakit ialah untuk menyerunya kepada Islam, atau untuk melembutkan hati keluarganya kepada Islam atau apa-apa maslahah yang seumpamanya.
Adab Menziarahi Pesakit
1. Mengharapkan ganjaran daripada Allah subhanahu wa taala.
2. Niat mencontohi Nabi sallallah ‘alaih wa sallam.
3. Berniat berbuat baik kepada saudara semuslim dengan menziarahinya.
4. Memenuhkan masa menziarahi pesakit dengan perkara-perkara yang dapat memberi manfaat kepadanya seperti dengan memberi nasihat, mengingatkannya kepada keperluan bertaubat, beristighfar dan melunaskan hak-hak orang lain.
5. Membantu menyelesaikan kemusykilan agama yang menjadi tanda-tanya kepadanya.
6. Mengulangi Ziarah: Sebahagian ulama berpandangan tidak perlu menziarahi seorang yang sedang sakit setiap hari, kerana perbuatan itu boleh mengganggunya atau memberatkan sipesakit dengan kehadiran kita. Sebahagian yang lain pula berpandangan perkara ini bergantung kepada seseorang individu, ini kerana ada sebahagian orang, dengan kehadirannya dapat menggembirakan pesakit dan pesakit akan berasa terkilan jika dia tidak datang menziarah. Orang sebegini disunatkan kepadanya untuk mengulangi ziarah selagi kehadirannya diterima oleh pesakit.
7. Tidak memanjangkan masa ketika menziarahi pesakit: Tidak sepatutnya berada lama di rumah pesakit, kerana perbuatan ini boleh memberatkan pesakit dan keluarganya. Tambahan pula pada kebiasaannya ada beberapa keadaan yang pesakit tidak suka ia diperhatikan melainkan orang orang-orang yang dekat kepadanya. Maka duduk lama menziarahi orang sakit akan member kesukaran atau akan menimbulkan rasa tidak selesa pesakit. Melainkan bagi orang yang diminta oleh pesakit.
8. Waktu Ziarah: Dalam persoalan ini al-Imam Ibn al-Qayyim berkata:

لم يخص صلى الله عليه وسلم يوماً من الأيام , ولا وقتاً من الأوقات بعيادة , بل شرع لأمته ذلك ليلاً ونهاراً , وفي سائر الأوقات
Maksudnya: “Nabi S.A.W. tidak pernah mengkhususkan sebarang hari , tidak juga sebarang waktu untuk menziarahi pesakit, bahkan ia terbuka samada pada waktu malam mahupun siang tanpa mengira waktu.”

Sebahagian ulama suka menziarahi pesakit ketika awal pagi ataupun di awal petang sebagai mempraktik dan untuk memperoleh kelebihan yang disebut di dalam hadith Nabi S.A.W.:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَعُودُ مُسْلِمًا غُدْوَةً إلا صَلَّى عَلَيْهِ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ حَتَّى يُمْسِيَ، وَإِنْ عَادَهُ عَشِيَّةً إلا صَلَّى عَلَيْهِ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ حَتَّى يُصْبِحَ، وَكَانَ لَهُ خَرِيفٌ فِي الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Tiada seorang muslim yang menziarahi seorang muslim lain (yang sedang sakit) pada waktu pagi, melainkan 70 ribu malaikat berselawat ke atasnya sehingga ke petang, jika dia menziarahi saudaranya itu pada waktu petang, 70 ribu malaikat akan berselawat ke atasnya sehingga ke subuh, dan untuk dia sebuah kebun di dalam syurga.”

Apapun urusan menziarahi pesakit ini bergantung kepada kesesuaian, asalkan ia tidak membebankan pesakit dan dapat menggembirakannya dengan kehadiran kita.

9. Doa untuk pesakit: Wajar mendoakan kepada pesakit dengan doa yang thabit dari Nabi sallallah ‘alaih wa sallam ketika menziarahi pesakit:
i. Dengan mengucapkan:
لَا بَأْسَ، طَهُوْرٌ إنْ شَاءَ الله
Maksudnya: “Tidak mengapa, ia (sakit itu) berperanan mensucikan kita dari salah dan silap insyaallah.”
ii. Mendoakan kesembuhan untuk pesakit dengan doa yang dibaca oleh Nabi sallallah ‘alaih wa sallam ketika menziarahi Sa’ad bin Abi Waqqas yang sedang sakit, baginda meletakkan telapak tangan baginda di atas dahi, dada dan perut Sa’ad, kemudian membaca:
اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْداً
Maksudnya: “Ya Allah sembuhkan Sa’ad” (3x)
iii. Nabi S.A.W. apabila menziarahi orang sakit, baginda menyapu tangan kanannya ke atas orang sakit (di tempat sakitnya) sambil berdoa:
‏اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَاسَ اِشْفِهِ وَأَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ ‏ ‏سَقَمًا
Maksudnya: “Ya Allah, tuhan kepada manusia, hilangkanlah kesakitan, sembuhkanlah ia, dan sesungguhnya Engkaulah maha penyembuh, tidak ada penyembuhan melainkan dengan penyembuhanMu, penyembuhan yang tidak meninggalkan sebarang kesakitan.”
iv. Berdoa dengan doa yang diajarkan oleh Nabi S.A.W. seperti hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud:
أن النَّبِيًّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَحْضُرْ أَجَلُهُ فَقَالَ عِنْدَهُ سَبْعَ مِرَارٍ : أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ إِلاَّ عَافَاهُ اللَّهُ مِنْ ذَلِكَ الْمَرَضِ
Maksudnya: “Nabi S.A.W. bersabda: Sesiapa yang menziarahi seorang pesakit yang belum tiba ajalnya, lalu dia membaca 7 kali di sisi pesakit:
أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ
Maksudnya: “Aku memohon kepada Allah yang maha agung, Tuhan yang menguasai Arasy yang agung untuk menyembuhkan mu” melainkan Allah akan menyembuhkannya.”

10. Mengingati kurniaan kesihatan yang Allah berikan kepada kita
Maksudnya: “Bacaan surah Yasin kepada orang yang sedang nazak disebut di dalam hadith daripada Mu’aqqal bin Yasar, yang Nabi S.A.W. bersabda: Bacalah ke atas orang yang hampir mati dengan surah Yasin. Hadith ini telah disahihkan oleh sekumpulan ulama, kerana mereka menyangka sanadnya bagus, sanadnya dari riwayat Abi Uthman al-Nahdiy daripada Muaqqal bin Yasar. Sedang sebahagian ulama lain melemahkan hadith ini dan mengatakan: periwayat hadith ini sebenarnya bukan Abi Uthman al-Nahdiy , akan tetapi orang lain yang tidak dikenali. Oleh itu hadith ini diketahui (di sisi sebahagian ulama) sebagai hadith lemah, disebabkan tidak diketahui siapakah Abi Uthman, oleh itu tidak digalakkan membaca surah Yasin kepada orang yang hampir mati. Ulama yang menggalakkan menyangka hadith ini sahih, lalu mereka menggalakkannya. Akan tetapi membaca mana-mana ayat al-Quran kepada orang yang sedang sakit adalah satu perkara yang baik, mudah-mudahan Allah memberi kebaikan kepadanya dengan bacaan tersebut. Adapun mengkhususkan surah Yasin, asalnya dibina dari hadith yang lemah, dan tidak ada jalan untuk mengkhususkannya.”
(Sumber: http://bin-sahak.blogspot.com/2011/09/adab-merawat-melawat-dan-pengrusan.html)
Pesanan insan kerdil:
Sakit tertusuk duri juga penghapus dosa. Semoga entri ini mampu memberikan anda kefahaman mengenai kifarah dosa dan mengetahui adab-adab melawat orang sakit(renungan untuk penulis sendiri). Wallahualam.

Sunday, January 1, 2012

Hijrahkan doa


Assalamualaikumwarahmatuallahiwabarakatu dan salam sejahtera..

Setiap manusia mempunyai impian dan harapan yang diinginkan dalam hidup bukan? Bagaimana untuk merealisasikan keinginan itu?

Ustazah saya ada mengatakan bahawa jika kita inginkan kejayaan kita perlu ada DUIT. Apakah DUIT itu? Ustazah saya mengatakan bahawa DUIT itu adalah:

D- Doa
U- Usaha
I- Ikhlas
T- Tawakal

Doa merupakan salah satu cara untuk kita meraih kejayaan tetapi bukan hanya sekadar berdoa sahaja tetapi perlulah disusuli dengan usaha yang mantap diikuti dengan keikhlasan hati seterusnya tawakal kepada-Nya.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi Muhammad SAW telah bersabda:
”Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturrahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan.” Lalu baginda ditanya oleh seseorang:”Apa maksudnya meminta dicepatkan?”Jawab baginda:”Umpamanya seseorang itu berkata dalam doanya:”Aku telah berdoa, aku telah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu aku putus asa dan berhenti berdoa.”(Muslim)

Mungkin anda pernah mendengar keluhan orang disekeliling anda mengeluh bahawa doanya tidak dimakbulkan Allah S.W.T. Anda ingin mengetahui apakah puncanya? Mungkin selepas anda membaca entri ini anda boleh memperbaiki cara anda berdoa malah memperbetulkan sahabat-sahabat anda berdoa kepada Allah S.W.T. Amin, InsyaAllah.
Ketika Ibrahim bin Ad'ham (seorang ahli tasawuf) berada di pasar Basrah, telah dikerumuni beliau oleh orang ramai, di antaranya ada yang bertanya: "Ya Aba Ishak! Gelaran bagi Ibrahim bin Ad'ham mengapakah kami memohonkan doa kepada Allah, tetapi tidak dikabulkan doa kami?" Ibrahim bin Ad'ham menjawab: "Kerana hati kamu telah mati disebabkan sepuluh perkara:
(1) Kamu mengenal Allah, tapi kamu tidak menunaikan hak-hakNya.
(2) Kamu mengaku bahawa kamu cinta kepada Rasulullah saw, tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.
(3) Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal menurut Al-Quran.
(4) Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukurnya.
(5) Kamu telah berkata bahawa syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
(6) Kamu telah berkata bahawa syurga itu benar adanya, tetapi kamu tidak beramal untuknya.
(7) Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar adanya, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
(8) Kamu telah berkata bahawa mati itu benar adanya, tetapi kamu tidak bersedia baginya.
(9) Kamu bangun dari tidur lalu ceritakan keaiban manusia,tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.
(10)Kamu mengubur mayat saudara-saudara kamu,tetapi kamu tidakjadikan pelajaran bagi mereka.

Sebab doa tidak diterima
1) Tidak mengambil wudu’ dengan sempurna.
Bagaimana keadaan kita ketika mengambil wudu’? diri kita perlulah bersih dari kekotoran, pakaian hendaklah sopan, mengambil wudu’ dengan penuh penghayatan, basuhi setiap anggota badan yang diwajibkan dengan bersih dan disertai dengan bacaan Bismillah dan doa-doa yang berkaitan.
2) Tidak melakukan solat Taubat setelah melakukan dosa.
Macam mana doa nak termakbul, jika diri kita ini tidak bertaubat, menyesali setiap apa keburukan yang kita lakukan? Ramai diantara kita tidak melaksanakan solat taubat, walaupun kita sedar atau tidak ada dosa yang kita lakukan. Tak susah manapun, hanya 2 rakaat, laksanakanlah solat taubat, mohon kepadaNYA dengan penuh penyesalan jika ada dosa dan kesalahan, diampunkan oleh-NYA.
3) Tidak khusyuk dalam berdoa, hanya berdoa tetapi tidak bersungguh-sungguh.
Pernahkah anda berdoa, tetapi fikiran anda melayang ke tempat lain, masa doalah teringat perkara itu dan perkara ini.Pernah? jika ya, ia adalah petanda anda tidak khusyuk dalam berdoa atau dalam perkataan lain ”berdoa sambil lewa”. Bersungguh-sungguhlah dalam berdoa.
4) Melaksanakan solat Hajat hanya sekali, dan mengharapkan ALLAH kabulkan hajat.
Ada juga yang mengatakan ”saya dah solat hajat dah, tapi tak termakbul pun”.Pabila saya bertanya, berapa kali anda lakukan solat hajat? jawabnya ”sekali”.Hanya sekali berhajat dan mengharapkan hajat kita dimakbulkan ALLAH? Pandangan saya, laksanakan solat hajat sehingga doa kita termakbul. Barulah akan timbul di hati kita kesungguhan, dan bila punya kesungguhan dan perkara yang dihajatkan itu baik untuk diri kita, pasti ALLAH akan kabulkan.
5) Tidak rendah diri menghadap Ilahi, tiada penyesalan yang disertai dengan tangisan.
Ramai sangat yang ”berlagak”, ketika solat. Maksud saya, tidak merendahkan diri untuk menghadap ALLAH, Pencipta dan Pemberi segalanya untuk kita. Hanya solat, doa dan lipat sejadah. Tiada ”feel”, nak berjumpa denganNYA, beranggapan ”hanya menunaikan solat, kerana telah masuk waktu” tidak mengenal erti sebenar ”solat”.
6) Sentiasa mengeluh dalam melaksanakan tugas, tanpa mengerti bahawa tugas-tugas itu sebenarnya adalah rezeki dariNYA.
Apabila tugas bertambah, timbul dari mulut ”aduh!banyak betul kerja”, ”Menyampahnya”, ”Penatnya”, ”Benci betullah” dan pelbagai lagi. Hey! itu adalah tugas untuk anda, tanggungjawab anda, anda dipercayai, sebab itulah tugas tersebut diberikan kepada anda! Tahukah kita sebenarnya dengan izin dan kepercayaanNYA terhadap kita lah, kita mendapat sesuatu tugas. Bersyukurlah!
7) Tidak bersyukur dengan segala kurniaan ALLAH.
Berapa ramai sangatlah yang bersyukur dengan apa yang ada padanya. Anda sendiri tak bersyukur dengan kurniaan ALLAH, macam manalah ALLAH nak bagi apa yang anda doakan? Contoh,sesudah makan,ada tak ucap Alhamdulillah? ada yang lepas makan terus sendawa kuat, kemudian kata ”excuse me”. Sekali lagi, Bersyukurlah atas segala kurniaan-NYA.
8 ) Doa tidak dimulakan dengan zikir, terus sahaja berdoa.
Sesudah solat, sebaiknya berzikirlah dahulu, jangan terus berdoa. Pabila kita berzikir, kita akan bersungguh-sungguh mengingati-NYA, dan pabila kita berdoa kita akan rasa lebih khusyuk.
9) Tidak bersabar dalam berdoa, melajukan bacaan doa hingga tersalah bacaan
Bacaan doa seolah-olah seperti keretapi express! nak cepat je. Tahu tak, pabila kita berdoa dengan tergesa-gesa pasti akan tesalah bacaan doa, seterusnya tiada khusyuk dan akhirnya doa tidak termakbul. Nak kejar apalah sangat, luangkan masa sekurang-kurangnya ½ jam bersama-NYA. Jelaskan bacaan doa, sebut satu persatu dengan penuh kesungguhan.
10) Tidak redha, jika doa tidak termakbul.
Kita hanya mampu berdoa, selebihnya ALLAH yang menentukan. Apabila anda sudah bersungguh-sungguh dalam berdoa, tetapi tidak dimakbulkan, maka redhalah. Redhalah! kerana ada perkara yang lebih baik dari-NYA untuk mu. (Sumber: Blooger)
Di antara adab-adab berdoa ialah:
-Doa hendaklah dilakukan dalam waktu yang baik dan mulia seperti pada hari Arafah, ketika Ramadhan, Jumaat, sepertiga yang akhir dari malam dan pada waktu sahur.
-Berdoa dalam keadaan yang mulia seperti ketika sujud dalam sembahyang, ketika berhadapan dengan musuh dalam pertempuran, ketika hujan turun, sebelum menunaikan sembahyang dan sesudahnya, ketika jiwa sedang tenang dan bersih daripada gangguan syaitan dan ketika menghadap Kaabah.
-Berdoa dengan menghadap kiblat.
-Berdoa dengan merendahkan suara antara terdengar dan tidak oleh orang yang berada di sisi kita. -Berdoa dengan tidak menggunakan kata-kata yang bersajak. Memadai dengan kata-kata biasa dan sederhana, sopan dan tepat dengan apa yang dihajati dan tidak perlu dilagukan dan amat baik dipilih lafaz-lafaz doa Rasulullah s.a.w yang bersesuaian.
-Berdoa dalam keadaan khusyu' dan tawadhu' dengan merasakan kebesaran dan kehebatan Allah dalam jiwa.
-Mengukuhkan kepercayaan bahawa doa itu akan dimakbulkan Allah dan tidak sedikitpun berasa gelisah jika tidak diperkenankan Allah s.w.t.
-Mengulangkan doa yang diutamakan dua hingga tiga kali.
-Memuji Allah di permulaan dan pengakhiran doa.
-Bertaubat sebelum berdoa dan menghadapkan diri dengan sesungguhnya kepada Allah s.w.t.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud " ... berdoalah kepada Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu..." (Surah al-Mu'min ayat 60).

Anda sudah mengetahui sebab-sebab doa tidak dimakbulkan dan apakah adab-adab untuk berdoa. Oleh hal demikian, sekiranya doa anda tidak diterima juga marilah sama-sama kita melihat daripada beberapa hadis dibawah. Semoga anda tidak berkecil hati dan kecewa kepada Allah S.W.T ya!

Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW :
“Tidaklah seseorang Muslim berdoa kepada ALLAh sesuatu doa yang tidak mengandungi dosa atau memutuskan hubungan ‘rahim’, melainkan ALLAh akan memberikan kepadanya menerusi satu dari tiga cara, iaitu ; diperkenankan apa yang dimintanya atau disimpan-Nya untuknya di akhirat kelak, atau Dia menghindarkan dirinya sesuatu keburukan yang setimpalnya. Para sahabat pun berkata : ‘Kalau begitu kita perbanyakkan berdoa!’ Nabi SAW menjawab : ‘ALLAh SWT lebih banyak memberikan ganjarannya.’” – HR. Bukhari
Diriwayatkan lagi daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda :
“Tuhan kami ‘Azza wa Jalla turun setiap malam ke langit dunia tatkala tinggal lagi sepertiga malam yang akhir, lalu berfirman : ‘Siapakah yang mahu berdoa kepada-Ku nescaya Aku akan menerima doanya. Siapakah yang mahu meminta kepada-Ku, nescaya Aku berikan. Siapakah yang mahu memohon kepada-Ku, nescaya Aku mengampunkannya.’” – HR. Bukhari

Jika direnungkan dan difahami ayat diatas, maka tiada doa kita yang ALLAh tidak kabulkan. Wahai saudaraku! Doa kita sentiasa dimakbulkan-Nya. Pengajaran yang dapat kita petik daripada hadis ini, ALLAh SWT menerima doa kita dan dengan cara-NYA,
DIA menerima doa kita dengan tiga cara :
1 – Diperkenan doanya ketika di dunia, dengan diberikan apa sahaja hajatnya.
2 – Doanya telah diperkenankan, tetapi hajatnya itu disimpan dan akan diberikan di akhirat kelak.
3 – Doanya telah diperkenankan, tetapi bukan dengan diberikan apa yang diminta, tetapi dengan cara diselamatkan dirinya daripada bala bencana.

Pesanan insan kerdil:
Diharap entri ini mampu menghijrahkan doa anda. Seandainya anda mempunyai masa terluang, tontonlah drama Ku Hijrahkan Doa (Youtube). Sila klik . Semoga anda juga mendapat sesuatu daripada drama ini. Amin, InsyaAllah. Wallahualam.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
”Doa itu ialah ibadat.” Riwayat Bukhari