Mata Hati yang memandang akan mencoret kata-kata untuk mengerti dan memahami ciptaan-Nya...
Sunday, January 1, 2012
Hijrahkan doa
Assalamualaikumwarahmatuallahiwabarakatu dan salam sejahtera..
Setiap manusia mempunyai impian dan harapan yang diinginkan dalam hidup bukan? Bagaimana untuk merealisasikan keinginan itu?
Ustazah saya ada mengatakan bahawa jika kita inginkan kejayaan kita perlu ada DUIT. Apakah DUIT itu? Ustazah saya mengatakan bahawa DUIT itu adalah:
D- Doa
U- Usaha
I- Ikhlas
T- Tawakal
Doa merupakan salah satu cara untuk kita meraih kejayaan tetapi bukan hanya sekadar berdoa sahaja tetapi perlulah disusuli dengan usaha yang mantap diikuti dengan keikhlasan hati seterusnya tawakal kepada-Nya.
Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi Muhammad SAW telah bersabda:
”Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturrahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan.” Lalu baginda ditanya oleh seseorang:”Apa maksudnya meminta dicepatkan?”Jawab baginda:”Umpamanya seseorang itu berkata dalam doanya:”Aku telah berdoa, aku telah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu aku putus asa dan berhenti berdoa.”(Muslim)
Mungkin anda pernah mendengar keluhan orang disekeliling anda mengeluh bahawa doanya tidak dimakbulkan Allah S.W.T. Anda ingin mengetahui apakah puncanya? Mungkin selepas anda membaca entri ini anda boleh memperbaiki cara anda berdoa malah memperbetulkan sahabat-sahabat anda berdoa kepada Allah S.W.T. Amin, InsyaAllah.
Ketika Ibrahim bin Ad'ham (seorang ahli tasawuf) berada di pasar Basrah, telah dikerumuni beliau oleh orang ramai, di antaranya ada yang bertanya: "Ya Aba Ishak! Gelaran bagi Ibrahim bin Ad'ham mengapakah kami memohonkan doa kepada Allah, tetapi tidak dikabulkan doa kami?" Ibrahim bin Ad'ham menjawab: "Kerana hati kamu telah mati disebabkan sepuluh perkara:
(1) Kamu mengenal Allah, tapi kamu tidak menunaikan hak-hakNya.
(2) Kamu mengaku bahawa kamu cinta kepada Rasulullah saw, tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.
(3) Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal menurut Al-Quran.
(4) Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukurnya.
(5) Kamu telah berkata bahawa syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
(6) Kamu telah berkata bahawa syurga itu benar adanya, tetapi kamu tidak beramal untuknya.
(7) Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar adanya, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
(8) Kamu telah berkata bahawa mati itu benar adanya, tetapi kamu tidak bersedia baginya.
(9) Kamu bangun dari tidur lalu ceritakan keaiban manusia,tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.
(10)Kamu mengubur mayat saudara-saudara kamu,tetapi kamu tidakjadikan pelajaran bagi mereka.
Sebab doa tidak diterima
1) Tidak mengambil wudu’ dengan sempurna.
Bagaimana keadaan kita ketika mengambil wudu’? diri kita perlulah bersih dari kekotoran, pakaian hendaklah sopan, mengambil wudu’ dengan penuh penghayatan, basuhi setiap anggota badan yang diwajibkan dengan bersih dan disertai dengan bacaan Bismillah dan doa-doa yang berkaitan.
2) Tidak melakukan solat Taubat setelah melakukan dosa.
Macam mana doa nak termakbul, jika diri kita ini tidak bertaubat, menyesali setiap apa keburukan yang kita lakukan? Ramai diantara kita tidak melaksanakan solat taubat, walaupun kita sedar atau tidak ada dosa yang kita lakukan. Tak susah manapun, hanya 2 rakaat, laksanakanlah solat taubat, mohon kepadaNYA dengan penuh penyesalan jika ada dosa dan kesalahan, diampunkan oleh-NYA.
3) Tidak khusyuk dalam berdoa, hanya berdoa tetapi tidak bersungguh-sungguh.
Pernahkah anda berdoa, tetapi fikiran anda melayang ke tempat lain, masa doalah teringat perkara itu dan perkara ini.Pernah? jika ya, ia adalah petanda anda tidak khusyuk dalam berdoa atau dalam perkataan lain ”berdoa sambil lewa”. Bersungguh-sungguhlah dalam berdoa.
4) Melaksanakan solat Hajat hanya sekali, dan mengharapkan ALLAH kabulkan hajat.
Ada juga yang mengatakan ”saya dah solat hajat dah, tapi tak termakbul pun”.Pabila saya bertanya, berapa kali anda lakukan solat hajat? jawabnya ”sekali”.Hanya sekali berhajat dan mengharapkan hajat kita dimakbulkan ALLAH? Pandangan saya, laksanakan solat hajat sehingga doa kita termakbul. Barulah akan timbul di hati kita kesungguhan, dan bila punya kesungguhan dan perkara yang dihajatkan itu baik untuk diri kita, pasti ALLAH akan kabulkan.
5) Tidak rendah diri menghadap Ilahi, tiada penyesalan yang disertai dengan tangisan.
Ramai sangat yang ”berlagak”, ketika solat. Maksud saya, tidak merendahkan diri untuk menghadap ALLAH, Pencipta dan Pemberi segalanya untuk kita. Hanya solat, doa dan lipat sejadah. Tiada ”feel”, nak berjumpa denganNYA, beranggapan ”hanya menunaikan solat, kerana telah masuk waktu” tidak mengenal erti sebenar ”solat”.
6) Sentiasa mengeluh dalam melaksanakan tugas, tanpa mengerti bahawa tugas-tugas itu sebenarnya adalah rezeki dariNYA.
Apabila tugas bertambah, timbul dari mulut ”aduh!banyak betul kerja”, ”Menyampahnya”, ”Penatnya”, ”Benci betullah” dan pelbagai lagi. Hey! itu adalah tugas untuk anda, tanggungjawab anda, anda dipercayai, sebab itulah tugas tersebut diberikan kepada anda! Tahukah kita sebenarnya dengan izin dan kepercayaanNYA terhadap kita lah, kita mendapat sesuatu tugas. Bersyukurlah!
7) Tidak bersyukur dengan segala kurniaan ALLAH.
Berapa ramai sangatlah yang bersyukur dengan apa yang ada padanya. Anda sendiri tak bersyukur dengan kurniaan ALLAH, macam manalah ALLAH nak bagi apa yang anda doakan? Contoh,sesudah makan,ada tak ucap Alhamdulillah? ada yang lepas makan terus sendawa kuat, kemudian kata ”excuse me”. Sekali lagi, Bersyukurlah atas segala kurniaan-NYA.
8 ) Doa tidak dimulakan dengan zikir, terus sahaja berdoa.
Sesudah solat, sebaiknya berzikirlah dahulu, jangan terus berdoa. Pabila kita berzikir, kita akan bersungguh-sungguh mengingati-NYA, dan pabila kita berdoa kita akan rasa lebih khusyuk.
9) Tidak bersabar dalam berdoa, melajukan bacaan doa hingga tersalah bacaan
Bacaan doa seolah-olah seperti keretapi express! nak cepat je. Tahu tak, pabila kita berdoa dengan tergesa-gesa pasti akan tesalah bacaan doa, seterusnya tiada khusyuk dan akhirnya doa tidak termakbul. Nak kejar apalah sangat, luangkan masa sekurang-kurangnya ½ jam bersama-NYA. Jelaskan bacaan doa, sebut satu persatu dengan penuh kesungguhan.
10) Tidak redha, jika doa tidak termakbul.
Kita hanya mampu berdoa, selebihnya ALLAH yang menentukan. Apabila anda sudah bersungguh-sungguh dalam berdoa, tetapi tidak dimakbulkan, maka redhalah. Redhalah! kerana ada perkara yang lebih baik dari-NYA untuk mu. (Sumber: Blooger)
Di antara adab-adab berdoa ialah:
-Doa hendaklah dilakukan dalam waktu yang baik dan mulia seperti pada hari Arafah, ketika Ramadhan, Jumaat, sepertiga yang akhir dari malam dan pada waktu sahur.
-Berdoa dalam keadaan yang mulia seperti ketika sujud dalam sembahyang, ketika berhadapan dengan musuh dalam pertempuran, ketika hujan turun, sebelum menunaikan sembahyang dan sesudahnya, ketika jiwa sedang tenang dan bersih daripada gangguan syaitan dan ketika menghadap Kaabah.
-Berdoa dengan menghadap kiblat.
-Berdoa dengan merendahkan suara antara terdengar dan tidak oleh orang yang berada di sisi kita. -Berdoa dengan tidak menggunakan kata-kata yang bersajak. Memadai dengan kata-kata biasa dan sederhana, sopan dan tepat dengan apa yang dihajati dan tidak perlu dilagukan dan amat baik dipilih lafaz-lafaz doa Rasulullah s.a.w yang bersesuaian.
-Berdoa dalam keadaan khusyu' dan tawadhu' dengan merasakan kebesaran dan kehebatan Allah dalam jiwa.
-Mengukuhkan kepercayaan bahawa doa itu akan dimakbulkan Allah dan tidak sedikitpun berasa gelisah jika tidak diperkenankan Allah s.w.t.
-Mengulangkan doa yang diutamakan dua hingga tiga kali.
-Memuji Allah di permulaan dan pengakhiran doa.
-Bertaubat sebelum berdoa dan menghadapkan diri dengan sesungguhnya kepada Allah s.w.t.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud " ... berdoalah kepada Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu..." (Surah al-Mu'min ayat 60).
Anda sudah mengetahui sebab-sebab doa tidak dimakbulkan dan apakah adab-adab untuk berdoa. Oleh hal demikian, sekiranya doa anda tidak diterima juga marilah sama-sama kita melihat daripada beberapa hadis dibawah. Semoga anda tidak berkecil hati dan kecewa kepada Allah S.W.T ya!
Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW :
“Tidaklah seseorang Muslim berdoa kepada ALLAh sesuatu doa yang tidak mengandungi dosa atau memutuskan hubungan ‘rahim’, melainkan ALLAh akan memberikan kepadanya menerusi satu dari tiga cara, iaitu ; diperkenankan apa yang dimintanya atau disimpan-Nya untuknya di akhirat kelak, atau Dia menghindarkan dirinya sesuatu keburukan yang setimpalnya. Para sahabat pun berkata : ‘Kalau begitu kita perbanyakkan berdoa!’ Nabi SAW menjawab : ‘ALLAh SWT lebih banyak memberikan ganjarannya.’” – HR. Bukhari
Diriwayatkan lagi daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda :
“Tuhan kami ‘Azza wa Jalla turun setiap malam ke langit dunia tatkala tinggal lagi sepertiga malam yang akhir, lalu berfirman : ‘Siapakah yang mahu berdoa kepada-Ku nescaya Aku akan menerima doanya. Siapakah yang mahu meminta kepada-Ku, nescaya Aku berikan. Siapakah yang mahu memohon kepada-Ku, nescaya Aku mengampunkannya.’” – HR. Bukhari
Jika direnungkan dan difahami ayat diatas, maka tiada doa kita yang ALLAh tidak kabulkan. Wahai saudaraku! Doa kita sentiasa dimakbulkan-Nya. Pengajaran yang dapat kita petik daripada hadis ini, ALLAh SWT menerima doa kita dan dengan cara-NYA,
DIA menerima doa kita dengan tiga cara :
1 – Diperkenan doanya ketika di dunia, dengan diberikan apa sahaja hajatnya.
2 – Doanya telah diperkenankan, tetapi hajatnya itu disimpan dan akan diberikan di akhirat kelak.
3 – Doanya telah diperkenankan, tetapi bukan dengan diberikan apa yang diminta, tetapi dengan cara diselamatkan dirinya daripada bala bencana.
Pesanan insan kerdil:
Diharap entri ini mampu menghijrahkan doa anda. Seandainya anda mempunyai masa terluang, tontonlah drama Ku Hijrahkan Doa (Youtube). Sila klik . Semoga anda juga mendapat sesuatu daripada drama ini. Amin, InsyaAllah. Wallahualam.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
”Doa itu ialah ibadat.” Riwayat Bukhari
Subscribe to:
Post Comments (Atom)






No comments:
Post a Comment