Mata Hati yang memandang akan mencoret kata-kata untuk mengerti dan memahami ciptaan-Nya...
Friday, December 9, 2011
Nilai Kasih Sayang Seekor Haiwan
Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikumwarahmatuallahiwabarakatu dan salam sejahtera...
Minggu-minggu akhir seorang pelajar terus berputar...Kelas puisi isnin lepas begitu bahagia dengan gelak ketawa apabila pelajar-pelajar Korea mendeklamasikan sajak yang mereka cipta sendiri. Saya sendiri kagum dengan cara penulisan pelajar-pelajar Korea. Namun, sajak yang telah direka oleh Kris (Nama Melayu) begitu menyentuh perasaan.
Malaysia banyak kucing
Rakyat Malaysia seperti kucing
Malu seperti kucing
Ada tiga jenis kucing
Ada kucing Cina
Ada kucing India
Ada kucing Melayu
Kucing-kucing hidup bahagia
Sajak diatas merupakan sedikit picisan sajak yang dipetik daripada sajak Kucing karya Kris. Pensyarah kursus Puisi, Prof. Madya Dato' Paduka Rusli bin Saludin lantas meminta penterjemah untuk menerangkan pengertian sajak Kucing yang telah dicipta oleh Kris. Saya memandang sajak itu dari sudut pandangan yang berbeza daripada penterjemah yang telah dipanggil dihadapan. Pada pendapat anda sendiri apakah pengertian yang anda fahami daripada sajak itu?
Saya melihat daripada pelbagai sudut iaitu dari segi perpaduan masyarakat di Malaysia dan sejauh manakah nilai kasih sayang rakyat Malaysia terhadap haiwan. Nilai kasih sayang kepada haiwan?
Islam amat menggalakan kita sayang akan haiwan. Nabi Muhammad S.A.W menuntut insan melayan haiwan dengan baik dan mengharamkan penganiayaan terhadap haiwan.
Sabda Nabi saw maksudnya:
“Berbuat ihsan pada setiap roh yang masih hidup terdapat ganjarannya” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Imam al-Nawawi mengatakan: Walaupun hadis ini umum, maksudnya khusus kepada haiwan yang perlu dihargai nyawanya. Iaitu haiwan yang tidak diperintahkan agar kita membunuhnya. (‘Aun al-Ma’bud).
Dari Abdullah, dari bapanya, dia berkata (maksudnya):
“Kami pernah bersama Rasulullah saw dalam suatu safar, lalu baginda pergi untuk suatu keperluan. Waktu itu kami melihat burung pipit bersama dengan kedua anaknya, kami ambil kedua anak burung pipit tersebut, lalu datanglah ibunya. Dia mengepak-gepakkan sayapnya. Ketika Rasulullah saw datang, baginda bertanya: “Siapa yang membuat risau burung ini terhadap anaknya? Kembalikan anaknya kepadanya!”. Baginda juga pernah melihat sarang semut yang kami bakar. Baginda bertanya: “Siapa yang membakar ini?” kami menjawab: “Kami” lalu Baginda bersabda: “Tidak seyogianya mengazab dengan api kecuali Rabbnya api.” (Hadis Riwayat Ahmad dan disahihkan sanadnya oleh al-Arnauth)
“Bahawasanya Rasulullah S.A.W pernah memiringkan bejana untuk seekor kucing sehingga kucing itu minum (darinya) dan kemudian Rasulullah saw berwudhu dengan air sisanya.”(Hadis Sahih Riwayat Thabarani).
Janganlah kita menyiksa binatang tanpa belas kasihan sebaliknya pandanglah haiwan itu dengan perasaan belas kasihan. Ikuti sisipan daripada Blog Syariat Kasih.
Memang manusia berbeza dengan haiwan yang hanya dibezakan akal untuk memikirkan kehidupan di dunia ini. Dunia sekarang, manusia seumpama haiwan yang tiada akal untuk berfikir. Pelbagai isu, masalah dalam dunia yang dilakukan oleh manusia boleh dikatakan lebih teruk dari kelakuan haiwan itu sendiri. Sebab itulah apabila mendengar kes-kes luar kawalan kita seperti membuang bayi, membunuh secara kejam dan banyak lagi, tanggapan kepada pelakunya 'manusia berhati binatang', digunakan binatang sebab lebih kasar menandakan tahap kemarahan dalam tanggapan masyarakat. Justeru, ada yang beranggapan, binatang/haiwan lebih baik lagi dari manusia yang bersikap kebinatangan tersebut.
Baru-baru ini rasanya kecoh satu dunia tentang kes langgar seorang kanak-kanak di China yang menggemparkan isunya masyarakat yang berada di tempat kejadian tak memberi bantuan kepada mangsa tersebut. Malah dibiarkan begitu sahaja, hanya diperhatikan. Ada pihak mengatakan bantuan tak boleh diberikan akibat kepercayaan mereka terhadap sistem undang-undang yang membebankan masalah kepada sesiapa yang menolong kepada mangsa.Bukan undang-undang tersebut tetapi mangsa yang diberi bantuan tersebut mengambil kesempatan atau beranggapan mangsa dianiaya. Itu alasannya. Sebab itulah kanak-kanak tersebut dibiarkan walaupun sudah diberi pertolongan, dan semalam dimaklumkan dalam berita, kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia. Itulah kesudahannya tatkala jika bantuan diberi awal, kemungkinan kanak-kanak tersebut dapat diselamatkan lagi.
Kisah apabila seekor anjing menyelamatkan anjing yang lain dalam satu kesesakan lalu lintas. Anjing yang telah dilanggar terbaring ditengah-tengah jalan dan lalu lintas dapat diperhatikan sesak dari segi kelajuan kenderaan untuk bergerak. Namun, seekor anjing ini sanggup menyelamatkan anjing yang dilanggar tersebut yang sanggup meredah kenderaan yang bergerak laju untuk membawa ke tepi jalan. Bayangkan, anjing menyelamatkan anjing lain dalam kesesakan lalu lintas dan bila-bila masa saja, anjing penyelamat tersebut berisiko dilanggar juga.
------------------------------------------------------------------------------------------------
Kehangatan matahari yang agak terik di tepi gelanggang kolej Harun Aminurrashid tidak mematahkan semangat dua insan yang sibuk mengejar seekor kucing comel. Kucing comel berbulu oren akhirnya berhenti lalu merebahkan tubuhnya di atas kerusi batu. Dua insan yang kelihatan penat mengejar akhirnya berjaya mendapatkan kucing yang telah menarik perhatian mereka.
"Kenapa Yan suka sangat pada kucing ya?" Tanya Nor kepada Yan sedang membelai seekor kucing berwarna oren di ribaanya.
"Sebab kucinglah adik Yan." ujar Yan ringkas sambil mengusap-gusap bulu kucing yang begitu bahagia diperlakukan sedemikian rupa.
"Adik Yan? Yan tak ada adik-beradik ke?" tanya Nor lagi tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Yan.
" Ya, Yan anak tunggal. Sejak kecil sehinggalah sekarang, Yan keseorangan. Jadinya, Yan pun anggap semua kucing-kucing adalah adik-beradik Yan." jawab Yan jujur dan lembut menjawab pertanyaan Nor.
"Kesiannya Yan. Tiba-tiba Nor teringat pula pada Ayah Nor. Ayah Nor dulu agak tak suka pada kucing. Ayah mesti marah kalau nampak kucing naik atas meja makan. Ayah selalu warning kucing-kucing supaya tak masuk dalam rumah. Sampai kalau kucing terserempak dengan ayah kat dalam rumah, kucing-kucing tu macam nampak hantu terus sahaja lari lintang pukang keluar rumah" ujar Nor sambil tersenyum mengingatkan pelakuan ayahnya.
" Ya ke Nor? Kelakarnya ayah Nor. Sekarang pun dia masih garang lagi ke pada kucing-kucing tu? Tanya Yan pula seperti tidak sabar mengikuti cerita Nor yang seterusnya.
" Hmm, sekarang ayah dah tak macam dulu. Kat rumah tinggal ayah dan ibu Nor je sekarang. Adik-beradik Nor semua sambung belajar. Jadinya, ayah keseorangan. Sebagai pengubat kesepian dan rindu pada anak-anak, ayah sekarang sudah berbaik-baik dengan kucing-kucing kat rumah tu. Ibu Nor yang cerita pada Nor semasa Nor pulang cuti pertengahan semester yang lalu." ujar Nor penuh semangat.
Dua insan tersebut berlalu meninggalkan si kucing yang terlena di atas kerusi batu yang teduh kerana adanya rimbunan pokok yang berdiri setia. Hati dua sahabat pulang ke rumah masing-masing dengan hati yang tenang kerana dapat merehatkan diri bermain kucing. Alhamdulilah kerana Allah S.W.T menemukan mereka dengan satu ciptaan-Nya yang unik itu.
Sabda Nabi saw maksudya:
"Seorang wanita diazab kerana seekor kucing yang dikurung sampai mati. Wanita itu masuk neraka kerananya. Dia tidak memberi makan dan (tidak juga) minum kepada kucing itu ketika dia menawannya. Dia juga tidak melepaskannya agar dapat makan serangga-serangga yang ada di bumi." (Hadis Riwayat al-Bukhari)
------------------------------------------------------------------------------------------------
Pesanan insan kerdil:
Semua ciptaan-Nya sangat indah dan unik. Sebagai hamba-Nya yang lemah sentiasa beringat agar tidak sesekali menyakiti haiwan walaupun haiwan tersebut membahayakan nyawa kita. Sentiasalah membasahi lidah dengan zikir tulus kepada-Nya kerana haiwan dan tumbuhan yang dicipta oleh Allah S.W.T itu juga sentiasa bertasbih untuk-Nya (Renungan untuk penulis sendiri).
ALLAH S.W.T Berfirman maksudnya:
”Sesungguhnya bagi engkau pada diri Rasulullah saw. itu adalah contoh tauladan yang baik......’’.(Al Ahzab:21)
Sabda Nabi Muhammad S.A.W maksudnya:
“Aku telah meninggalkan ajaran agama Islam ini dalam keadaan yang amat terang dan jelas, Tiada seorangpun yang menyimpang daripada ajaran yang jelas ini selepas kewafatanku kecuali dia akan binasa.” (Hadis Sahih Riwayat Ahmad)
Wallahualam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)





No comments:
Post a Comment