Bismillahirahmanirrahim
"Seekor kambing yang berada dalam sekumpulan kambing yang besar mampu menakutkan seekor serigala yang buas. Tambahan lagi, seberkas lidi tidak mampu dipatahkan berbanding sebatang lidi yang terasing sendiri."
Kehidupan sebagai hamba-Nya pasti tidak akan pernah berhenti daripada mengenali insan ciptaan-Nya. Jika dihitung orang yang kita kenali sejak lahir pasti susah untuk kita hitung, bukan? Perkenalan dan pertemuan memberikan satu perasaan yang tidak mudah diungkap di hati kita. Sememangnya detik permulaan akan menimbulkan satu perasaan yang kurang selesa namun, detik yang seterusnya akan mula lahir perasaan senang malah selesa. Proses perkenalan ini bergantung kepada sifat individu. Andai seseorang individu itu bersifat ekstrovert, proses perkenalan akan berlaku dengan cepat begitulah sebaliknya, bagi individu bersifat introvert.
Apakah maksud ciri-ciri peribadi ekstrovert dan introvert? Ekstrovert dan introvert digambarkan oleh Eysenck dan Eysenck (1975, dalam Aiken, 1993 : 86) seperti berikut iaitu ciri ekstrovert adalah mudah bergaul, suka acara keramaian, mempunyai banyak kawan, memerlukan kawan untuk bicara dan tidak suka membaca atau belajar sendirian, sangat suka kegembiraan, mengambil tantangan, sering menentang bahaya, berperilaku tanpa berfikir terlebih dahulu dan biasanya suka menurutkan kata hatinya, gemar akan gurau-gurauan, selalu siap menjawab dan biasanya suka akan perubahan, riang, tidak banyak pertimbangan (easy going), optimis, serta suka tertawa dan gembira, lebih suka untuk tetap bergerak dalam melakukan aktiviti, cenderung menjadi agresif dan cepat hilang kemarahannya, semua perasaannya tidak disimpan dibawah kawal dan tidak selalu dapat dipercaya (Aiken, 1993 : 86 – 87).
Manakala ciri introvert adalah pendiam, pemalu, gemar membaca, suka menyendiri dan menjaga jarak kecuali dengan teman yang sudah akrab, cenderung merencanakan lebih dahulu – melihat dahulu – sebelum melangkah dan curiga, tidak suka akan kegembiraan, menjalani kehidupan sehari-hari dengan keseriusan dan menyukai gaya hidup yang teratur dengan baik, menjaga perasaannya secara tertutup, jarang berperilaku agresif, tidak menghilangkan kemarahannya, dapat dipercaya, dalam beberapa hal pesimis dan mempunyai nilai etika yang tinggi (Aiken, 1993 : 87). Anda tergolong dalam kategori ciri sifat yang mana? Pada pendapat saya, kedua-dua sifat ini perlu ada dalam diri kita. Bagi anda?
Entri ukhuwah ini bertujuan untuk mengupas implikasi perkenalan dengan setiap insan. Perkenalan merupakan satu anugerah yang tidak terhingga yang dikurniakan kepada kita. Perkenalan mana yang tidak pernah diuji bukan? Ujian perkenalan ini akan jelas menilai sifat rohaniah diri kita. Ujian perkenalan datang dengan pelbagai bentuk misalnya khabar angin, perselisihan faham dan lain-lain. Secepat mana perilaku dan perlaku akan bertindak dalam proses pemulihan hubungan? Jawapannya, bergantung kepada sifat setiap insan. Seorang sahabat pernah menyampaikan tazkirah ada mengatakan bahawa apabila berlaku perselisihan jadilah orang yang memaafkan kerana lebih baik daripada menjadi orang yang dimaafkan, begitulah sebaliknya. Proses pemulihan akan cepat berlaku jika setiap daripada kita melaksanakannya. Pada pandangan saya, andai kita mahu menjadi orang yang memaafkan atau dimaafkan pastikanlah hati anda sudah bersedia dengan sesuatu yang bernama "keikhlasan". Tiada gunanya huluran kemaafan jika di hati masih bersarang dengan kepura-puraan.
"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat." (Surah Al-Hujurat: 10)
Ukhuwah mengajar kepada setiap hamba-Nya bahawa makhluk ciptaan Illahi ini terdiri daripada pelbagai ragam dan sifat. Kebiasaannya, penilaian akan dilakukan oleh kita apabila melihat seseorang daripada luaran sahaja bak kata pepatah Inggeris " Judge the book because just like the cover". Ironinya, itulah fitrah seorang manusia yang dicipta untuk melihat sesuatu yang indah, cantik dan bersih. Selalunya kita akan memilih yang paling terbaik sedangkan dalam Al-Quran, jelas menyatakan:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)
Surah Al-Baqarah ayat 126 itu sangat mendalam pengertian yang perlu kita sebagai-Nya untuk mencari jawapan. Bagi saya dalam persoalan ukhuwah ini, surah ini membimbing kita agar jangan menilai seseorang hanya kerana hati merasai seseorang itu "indah, cantik dan bersih" sahaja. Walaupun hati kita masih berbekas rasa ragu- ragu, cubalah mendekati sahabat kita tanpa ada sekelumit perasaan curiga kerana percayalah anda akan mempelajari sesuatu daripada seseorang yang akan anda kenali itu. Bersedialah untuk menerima kelemahan dan kelebihan sahabat baru anda itu. Setiap pembinaan rantaian ukhuwah ini akan mematangkan diri anda dalam memahami kehidupan ciptaan-Nya. Bersyukurlah ke hadrat Illahi kerana menganugerahkan sahabat kepada anda (Kata-kata ini juga untuk renungan penulis sendiri).
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Syawal menjelma merupakan hadiah kesyukuran daripada bulan ramadhan yang penuh barakah. Salam aidilfitri 1432H buat semua muslimin dan muslimat:
- Keluarga tercinta dan sanak saudara.
- Teman bermain dan Sahabat baik.
- Sahabat-sahabat Jawatankuasa Mahasiswa Kolej 2010/2011, Kolej Harun Aminurrashid,UPSI.
- Kawan -kawan SKIM dan Staff Pejabat Kolej Harun Aminurrashid, UPSI
- Rakan Seperjuangan AT05 Pendidikan Bahasa Melayu Batch 2009/2010, UPSI
- Ahli-ahli Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan KHAR, UPSI sidang 2009/2010 dan 2010/2011.
- Sekolah & Persatuan (warga/rakan): Tabika Kemas Sungai Suloh, Sekolah Kebangsaan Sungai Suloh, Sekolah Agama Sungai Suloh, Sekolah Menengah Jalan Kolam Air, Sekolah Menengah Kebangsaan Banang Jaya,Sekolah Menengah Tinggi Batu Pahat & Johore Shooting Association.
Pesanan insan kerdil:
Ramadhan 1432H bakal menyingsing manakala syawal akan menjelma. Berdoalah kepada-Nya agar diizinkan untuk dipertemukan dengan Ramadhan 1433H pula. Syawal yang dirai moga akan menjadi titik tolak dalam memperkukuhkan rantaian ukhuwah yang telah lama terbina mahupun bakal dibina. Selamat hari raya adilfitri, maaf silap dan salah andai sepanjang coretan Bicara Kata ini pernah menyinggung perasaan anda kerana apa yang cuba dilakarkan merupakan sesuatu yang terlintas dari mata hati penulis dengan niat sekadar untuk berkongsi ilmu-Nya yang luas. Segala yang baik datang daripada-Nya dan yang buruk itu atas kelemahan penulis sendiri. Wassalam.







No comments:
Post a Comment