Bak kata orang pada hari ini tiada yang percuma semasa melakukan sesuatu. Hendak masuk tandas pun perlu bayar. Percayakah anda jika aku katakan pada hari ini hanya segelintir sahaja manusia zaman "MODEN" ini tidak mengharapkan balasan dengan apa yang mereka lakukan. Anda bersetuju bukan?
Jadi, kemanakah hati-hati insan yang masih lagi bersih daripada virus-virus materalistik itu? Moden bukan bermakna kita perlu meninggalkan nilai-nilai agama dan moral yang telah diterapkan sejak tapak kaki kita boleh diukur dengan dua jari lagi. Kita boleh lihat dengan hanya dengan menilai daripada ucapan penghargaan sahaja.
"Terima kasih ya sebab tolong saya."
Ucapan yang sering kita dengar daripada setiap pertolongan yang kita lakukan. Kini, ucapan keramat itu semakin kurang "popular" diucapkan. Mungkin kerana tak cukup masa nak ucap pada orang yang bersusah payah menolong agaknya. Namun, pernahkah anda terasa ucapan keramat itu lain daripada biasa?
Semasa menjalankan program, aku berkesempatan untuk berbual-bual dengan beberapa pihak yang tugas mereka menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat di negara bertuah ini. Disitulah aku mendapat sedikit pengalaman daripada mereka.
"Tugas saya memang saya agak mencabar. Kadang-kala rasa cemas juga semasa nak keluarkan mangsa kemalangan yang tersepit itu. Cik jangan ingat semua yang orang boleh hadapi situasi genting itu. Walaupun kami telah terlatih namun kami insan yang tak lepas daripada perasaan yang dirasai oleh orang biasa apabila melihat keadaan yang ngeri. Perasaan bercampur baur itu akan hilang apabila diri kita berjaya mengeluarkan mangsa dengan selamat. Mangsa terus mengucapkan terima kasih pada saya. Cik tahu apa yang saya rasa? Hati saya rasa ucapan itu bukan sekadar dihujung bibir sahaja tetepi memang benar-benar daripada hati. Ikhlas...lain daripada ucapan terima kasih yang selalu saya dapat. Hilang terus kepenatan saya sehingga membuatkan saya rasa kembali bersemangat dalam pekerjaan yang saya lakukan ni. "
Daripada Abdullah bin Umar r.a. Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berbuat baik kepada kamu, berilah balasan yang setimpal kepadanya. Jika kamu tidak dapat mendapati (sesuatu yang setimpal untuk membalasnya), berdoalah sehingga kamu mengetahui bahawa kamu telah membalasnya (mengulangi doa sehingga kamu menyangka bahawa haknya telah ditunaikan)."
Ucapan penghargaan itu bukan boleh diukur oleh mana-mana peranti di dunia ini. Hanya Allah S. W. T sahaja yang mengetahuinya. Namun, apa yang cuba aku ketengahkan dalam entri kali ini ialah jangan malu untuk menolong orang dan mengucapkan penghargaan kepada orang yang telah menolong kita. Ingatan ini buat diri sendiri juga. Mungkin pertolongan yang anda berikan kepada seseorang itu bukan akan dibalas pada diri anda, mungkin kepada keturunan atau ahli keluarga anda yang lain pula.
Wallah'ualam.



No comments:
Post a Comment